Covid-19: Ambil iktibar peningkatan mendadak di beberapa negara

single-image

KUALA LUMPUR – Tiada jaminan kes jangkitan Covid-19 akan terus menurun sekiranya rakyat gagal mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, masyarakat perlu mengambil iktibar daripada kes penularan Covid-19 yang meningkat secara mendadak di beberapa negara yang sebelum itu menunjukkan penurunan secara positif.

“Kalau kita lihat di beberapa negara yang telah pun menurun begitu banyak kes mereka, semalam berlaku peningkatan mendadak di negara mereka.

“Seperti Perancis mencatatkan kes positif sebanyak 26,140 semalam; di Italy, 21,304 kes positif manakala di Poland, 10,895 kes.

“Ini bermakna apa yang kita rasa hari ini mungkin berbeza pada masa akan datang jika kita tidak berhati-hati dan patuh SOP ditetapkan kerajaan. Pastikan kes terus menurun dengan kawalan kendiri. Kita akan menang secara bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini pada Selasa.

Ismail Sabri melahirkan rasa syukur dengan perkembangan situasi kes Covid-19 negara apabila menunjukkan trend penurunan sebanyak 43.7 peratus bagi tempoh 1 Mac hingga 12 Mac 2021.

Ia sekali gus menyaksikan purata kes harian telah direkodkan sebanyak 1,468 kes pada tempoh sama berbanding 2,606 kes pada 15 Februari sehingga 28 Februari lalu.

“Satu lagi yang menggembirakan saya adalah apabila pengesanan kes melalui aktiviti survelan komuniti juga menunjukkan tren penurunan sebanyak 80.4 peratus, dengan kadar positiviti menurun kepada 6.1 peratus pada 13 Mac 2021 berbanding dengan 11.0 peratus pada 28 Februari 2021.

“Bilangan kluster di tempat kerja juga menurun di samping jumlah pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan penggunaan ventilator tidak terkecuali mencatat penurunan,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published.