Bubarkan BERSATU, contohi Semangat 46 kembali ke pangkuan UMNO?

single-image

DARIPADA 27 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU yang mengeluarkan kenyataan bersama hari ini menyokong penubuhan Perikatan Nasional, hanya satu dua nama yang tersohor.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Dr. Rais Yatim. Beberapa lagi muka baharu antaranya Wan Saiful Wan Jan (ahli MPT), Jaziri Alkaf A. Suffian (Ketua BPN Sarawak) dan Datuk Mohd Rafiq Bin Naizamohideen (MPT) boleh digilap sebagai pemimpin masa depan. Yang lain, `biasa-biasa’ sahaja.

Kata ramai pemimpin UMNO yang membentuk Perikatan Nasional bersama Pas, BERSATU yang mempunyai dua nakhoda – pengerusinya Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Muhyiddin selaku presiden – tidak mempunyai akar umbi (grassroot) seperti mana UMNO.

Jika dibandingkan dengan sebuah parti Melayu sebelum ini, Parti Melayu Semangat 46 (S46) pun jauh bandingannya. Pada waktu kemuncaknya, S46 pernah mempunyai sekitar 400,000 orang ahli.

Mengimbas sejarah, S46 diwujudkan akibat tragedi pengharaman UMNO pada 1988. Ia ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah setelah beliau tewas di tangan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam perebutan jawatan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 1987.

Tewas tipis dengan 43 undi, pertembungan bersejarah itu menyaksikan UMNO terbahagi kepada dua kem.

Team A diterajui Dr. Mahathir dengan anggotanya, Allahyarham Ghaffar Baba, Anwar Ibrahim, Najib Tun Razak, Allahyarham Sanusi Junid, Allahyarham Mohamed Rahmat dan lain-lain.

Sementara Team B dikepalai Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh, serta mandapat dukungan kuat daripada Shahrir Samad, Abdullah Badawi, Ajib Ahmad, Rais Yatim, Allahyarham Harun Idris, Marina Yusuf, Othman Saat, Radzi Sheikh Ahmad dan ramai lagi.

Selepas pertandingan sengit 1987 itu, hanya Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi (Pak Lah) satu-satunya calon dari Team B yang dapat mengekalkan kerusi Naib Presiden UMNO.

S46 pernah menjalin kerjasama dengan DAP dan PAS. Kejayaan terbesarnya adalah dapat menumbangkan UMNO di Kelantan pada pilihan raya umum 1990.

Dengan itu wujudlah Kerajaan Islam Kelantan di bawah pemerintahan PAS yang diterajui oleh Allahyarham Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Kerajaan PAS Kelantan dapat bertahan sehingga ke hari ini, 30 tahun lamanya.

Gabungan di antara S46 dan PAS yang diberi nama ‘Angkatan Perpaduan Ummah berjaya dilakukan kerana pengaruh politik Tengku Razaleigh.

Angkatan Perpaduan Ummah terdiri daripada PAS, Semangat 46, HAMIM, Berjasa, KIMMA (Kongres India Muslim Malaysia).

Sementara di satu pihak lain, S46 menubuhkan juga GAGASAN RAKYAT yang terdiri daripada DAP, PRM, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Barisan Progresif India (IPF). Inilah idea permulaan yang seterusnya ditiru kembali oleh Anwar untuk menggabungkan parti-parti pembangkang bagi menubuhkan Barisan Alternatif yang akhirnya bertukar menjadi Pakatan Rakyat

Angkatan Perpaduan Ummah hanya mampu menang di Kelantan sahaja pada 1990.Dalam pilihan raya umum 1995, Angkatan Perpaduan Ummah hanya tinggal PAS, PMS46, HAMIM dan Berjasa. GR tinggal DAP, PRM dan PSM46.

Setelah menjadi pembangkang kira-kira tujuh tahun dan mengambil bahagian dalam dua pilihan raya umum, majoriti pimpinan S46 berpendapat bahawa mesej pemulihan UMNO sahaja tidak dapat dijual untuk meraih mandat politik.

S46 akhirnya dibubarkan pada 6 Oktober 1996.

Bilangan mutakhir ahli S46 yang diterima kembali sebagai anggota UMNO Baru ialah kira-kira 200,000 orang.

Ia termasuklah Tengku Razaleigh dan Rais sendiri yang sebelum itu `sanggup membakar jambatan politiknya’.

Pembubaran S46 antara sebabnya untuk menyatukan bangsa Melayu di bawah sebuah parti.

Tak tersambutkah untuk menjayakan matlamat yang sama wahai pemimpin-pemimpin MPT dan BPN BERSATU?

Sumber : Suara Merdeka

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.