Bubar Parlimen tanpa berlengah – Mohamad Hasan

single-image

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, adalah baik jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) membubarkan Parlimen tanpa berlengah sebagaimana yang dilakukan oleh negara jiran Singapura.

Katanya, Perdana Menteri republik itu, Lee Hsien Loong telah membubarkan Parlimen untuk membolehkan pilihan raya umum diadakan pada 10 Julai 2020 bagi memastikan kerajaan yang memerintah mempunyai mandat yang baik dan diyakini.

“Dalam konteks negara kita, adalah baik jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin juga melakukan perkara yang sama tanpa berlengah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu, Malaysia tidak pernah berada dalam kedudukan politik yang sangat tidak stabil seperti ini sejak merdeka.

Katanya, kemajuan, kemakmuran dan kebolehsaingan Malaysia sangat bergantung kepada kestabilan politiknya yang akan memberi kesan dan pengaruh kepada banyak perkara termasuklah kemasukan pelabur, aktiviti ekonomi dan ketenteraman sosial.

Beliau menarik perhatian mengenai keadaan semasa yang menurutnya sangat menyukarkan kerajaan untuk meluluskan pelbagai rang undang-undang yang kritikal termasuklah membentangkan belanjawan bagi memulihkan negara dari kemelesetan ekonomi yang dihadapi waktu ini.

“Segala usaha untuk memulihkan ekonomi Malaysia, mencipta pekerjaan dan melonjakkan persaingan tidak akan berlaku tanpa kerajaan yang stabil dan Parlimen yang boleh berperanan melakukan semak dan imbang,” kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

Mohamad juga berkata, negara tidak boleh terus menerus diheret dengan debaran ketidaktentuan serta kemungkinan pertukaran kerajaan selang beberapa bulan dan keadaan itu  bukan sesuatu yang sihat untuk negara.

Katanya, hanya kerajaan yang mempunyai mandat dan majoriti yang selesa di Parlimen dapat berfungsi dengan baik dan menumpukan segala fokus kepada memulihkan Malaysia dari segala cabaran besar yang bersifat ‘unprecedented’ yang sedang kita hadapi.

“Negara ini adalah sebuah demokrasi berparlimen. Kuasa sebenar ialah pada rakyat dan bukan pada sesiapa yang lain.

“Apatah lagi pada blok-blok yang dibentuk sesedap rasa mengikut keselesaan dan kemahuan ahli politik. Oleh yang demikian, kembalikanlah kuasa tersebut kepada rakyat dan biarlah mereka yang menentukan jalan kehadapan bagi tanahair tercinta,” katanya.

Sumber : MalaysiaGazette

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.