BN Johor tekad jadi pembangkang terbaik – Datuk Ir Hasni

single-image

ISKANDAR PUTERI : Barisan Nasional (BN) tidak akan menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sebagai ‘sarkas’ dengan perang vokal yang tidak matang dan kebudak-budakan, sekali gus akan menjadi pembangkang yang terbaik.

Ketua Pembangkang, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, wakil rakyat BN juga akan memberi kerjasama kepada semua pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada pihak kerajaan selagi apa yang ingin dilakukan bakal membuahkan kebaikan kepada rakyat.

Pada masa sama, BN juga akan menjadikan amalan politik yang progresif dan profesional sebagai tunjang pembangkang, malah beliau sendiri komited untuk membuka jalan ke arah amalan politik yang sempurna dan baik.

“Ini kerana, kerajaan negeri, malah semua kami di pihak pembangkang telah dipilih oleh rakyat. Jadi, sudah menjadi tanggungjawab kita semua untuk tidak menghampakan rakyat Johor yang telah memberikan mandat besar ini.

“Dan memandangkan mandat kita semua sangat besar, maka, pembangkang di Johor berikrar akan memberikan khidmat terbaik dalam bentuk, skala dan kematangan yang tidak pernah dipamerkan pembangkang sebelum ini,” katanya pada Sidang DUN Johor di sini sebentar tadi.

Hasni berkata, dalam erti kata lain, selaku pembangkang baharu, BN tidak akan mengikut dan mencontohi pendekatan dan sikap wakil rakyat Pakatan Harapan semasa mereka menjadi pembangkang sebelum ini.

Menurutnya, tidak banyak yang dapat BN belajar daripada sikap serta pendekatan yang hanya pandai mempertikai dan mempersoalkan semua perkara tanpa memberikan alternatif dan jawapan terbaik yang dipamerkan oleh pembangkang sebelum ini. – UTUSAN ONLINE

Sumber : Utusan Online

Leave a Comment

Your email address will not be published.