Bina semula ‘fixed deposit’

single-image

JOHOR BAHRU : Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyempurnakan perasmian Konvensyen UMNO Johor di Hotel Trove, hari ini.

Beliau menyifatkan Konvensyen UMNO ini amat penting untuk kepimpinan UMNO memberikan tawaran dan harapan baru kepada rakyat serta pengundi-pengundi di Johor ini.

“Tanggungjawab kita supaya membina semula ‘fixed deposit’ politik yang baharu di negeri Johor ini dengan kekuatan baharu daripada UMNO Johor sendiri.

“kita jangan terus bernostalgia, kita tahu negeri Johor amat penting bagi UMNO. Johor adalah tempat keputeraan UMNO dan Johor juga adalah tempat penyatuan  pelbagai persatuan yang lahir dari pelbagai kelompok, bangsa, NGO dan lain-lain,” katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen UMNO Johor.

Beliau juga menegaskan apa yang berlaku adalah sesuatu yang memberikan kesedaran yang akan memunculkan UMNO Johor dan UMNO seluruh negara sebagai satu wadah baru dengan semangat baru untuk UMNO menuju kejayaan yang lebih besar.

Datuk Seri Zahid Hamidi juga turut berpendapat bagi memperkukuhkan UMNO ia harus kembali kepada politik orang Melayu dan kepentingan orang Melayu bersama dengan orang-orang bukan Melayu.

“UMNO mesti keluar dari kotak pemikiran UMNO yang dahulu dan kita mesti meneroka dunia baru yang luas.

“kita tidak boleh terbelenggu dengan pemikiran UMNO sentrik dan berkisah dalam kalangan kita sahaja sehingga kita lupa bahawa persada perjuangan kita ini sebenarnya dunia Melayu keseluruhannya dan kita memayungi kepelbagaian agama, bangsa, kebudayaan dan keturunan di negara kita,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Zahid Hamidi menyifatkan PRK Parlimen Tanjung Piai sebagai ‘case study’.

“Kita sedang diuji bukan sekadar pengundi-pengundi Tanjung Piai yang akan melihat kita, bukan hanya Barisan Nasional UMNO Johor serta parti politik lain tetapi seluruh negara akan melihat Tanjung Piai akan kembali semula ke persada Barisan Nasional.

“yang demikian kita mesti memberi ‘new deal’ dan tawaran baru kepada pengundi-pengundi Tanjung Piai,” katanya.

Pada konvensyen kali ini, turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Haji Mohamad Hassan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi dan ramai lagi.

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.