Bersatu Pulai akan rujuk Osman Sapian ke Lembaga Disiplin

single-image

JOHOR BAHRU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pulai akan merujuk Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas, Datuk Osman Sapian yang dipercayai berkempen untuk calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, kepada Lembaga Disiplin parti.

Ketua Bahagian itu, Ya’cob Atan berkata, laporan itu akan dibuat sejurus pihaknya mengadakan mesyuarat bahagian minggu depan.

“Berkempen untuk calon yang menentang kita (Bersatu) bertentangan dengan Fasal 10.2.2 dan Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu,” kata Ya’cob yang juga Ketua Penerangan Bersatu Johor pada sidang media selepas merasmikan Program Konvoi Semarak Kemerdekaan Bahagian Bersatu Pulai, di sini, hari ini.

Dua hari lepas,  tular satu video di laman sosial yang menunjukkan Osman sedang berucap dipercayai berkempen menyokong calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi pada  PRK DUN Slim.

Dalam video itu, Osman mengakui masih menjadi ADUN Kempas atas tiket Bersatu dan menjadi ahli parti berkenaan.

Ia sekali gus bercanggah dengan kenyataan Osman sebelum itu yang menyatakan kehadirannya ke Slim, Perak adalah hanya untuk bertemu rakan-rakan lama sambil makan angin dan tiada kaitan dengan politik.

Pada PRK DUN Slim Sabtu lepas, calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz, 43, menang selepas memperoleh 13,060 undi, manakala Amir Khusyairi meraih 2,115 undi dan seorang lagi calon Bebas, bekas guru S. Santharasekaran, 44, memperoleh 276 undi.

Sumber : Bernama

Leave a Comment

Your email address will not be published.