Bersatu Johor terus bergolak, Pengerusi baharu bakal dilantik?

single-image

JOHOR BAHRU : Walaupun Mazlan Bujang sudah dilantik sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri yang baharu berkuat kuasa pada 25 Mei ini, pergolakan dalaman parti itu masih tidak lagi reda.

Menerusi satu mesyuarat yang diadakan di Ibu pejabat Bersatu Johor, Kempas di sini petang semalam, sepatutnya satu keputusan iaitu persetujuan melantik Setiausaha Bersatu negeri, Datuk Dr. Sahruddin Jamal sebagai Pengerusi Bersatu negeri yang baharu diumumkan.

Majoriti daripada bahagian Bersatu Johor didakwa akan bersetuju dengan keputusan memilih Dr. Sahruddin yang juga Menteri Besar Johor itu sebagai Pengerusi Bersatu yang baharu bagi menggantikan Mazlan.

Bagaimanapun pihak media yang hadir untuk sidang akhbar pada petang tadi, tidak dibenarkan membuat sebarang liputan selain menyatakan mesyuarat tersebut tertutup dan tiada sidang akhbar akan diadakan.

Dr. Sahruddin ketika ditemui pihak media enggan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kemelut tersebut.

Pada 30 April lalu Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya dalam satu kenyataan berkata, Mazlan yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Johor mengambil alih tugas itu daripada Datuk Osman Sapian.

Sementara itu terdapat juga cakap-cakap bahawa Osman yang juga bekas Menteri Besar akan dilantik semula sebagai Pengerusi Bersatu negeri.

Osman ketika dihubungi menafikan mesyuarat tersebut adalah untuk melantik atau mengumumkan Pengerusi Bersatu negeri yang baharu.

Sebaliknya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu berkata, pertemuan tersebut hanya perbincangan biasa melibatkan ketua-ketua bahagian.

Beliau bagaimanapun enggan memberitahu jumlah ketua-ketua bahagian Bersatu seluruh Johor yang hadir dalam ‘pertemuan’ tersebut.

“Jika mereka mahu melantik Pengerusi (Bersatu negeri) yang baharu setelah ramai tidak menerimanya (Pengerusi Bersatu terkini), biarkan Menteri Besar (Dr. Sahruddin) memegang jawatan itu,” katanya.

Sumber : Utusan Online

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.