Berhentilah menipu tentang ECRL

single-image


Semua sedia maklum bahawa projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merupakan projek yang dibelenggu dengan kontroversi bersifat politik oleh puak Pakatan Harapan sejak Malaysia-China memeterai perjanjian rangka kerja bagi projek ini. 

Malah projek ini juga sempat menimbulkan kekeliruan kepada rakyat apabila Azmin Ali pernah mengumumkan pembatalan projek ini secara tiba-tiba. Namun, tidak sampai seminggu Tun Mahathir pula bersuara mengatakan projek ECRL tidak dibatalkan seperti mana yang dinayatakan oleh Azmin Ali. Kerana pada ketika itu Tun Mahathir sedar  jika projek ini dibatalkan, Malaysia akan dikenakan penalti sebanyak 22 bilion. Dek kerana itu, Tun Mahathir masih meneruskan projek ECRL ini.

Jika kita undur masa sedikit ke belakang antara tahun 2016 – 2017, propaganda yang pernah dimainkan oleh Pakatan Harapan khusus Tun Mahathir adalah ECRL ini merupakan satu perkara yang membazir.

Lebih teruk lagi kerajaan Pakatan Harapan telah menuduh bahawa projek ini adalah agenda utama untuk menjual negara kepada China. Malah Pakatan Harapan juga berjanji akan membatalkan projek ini selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Ternyata propaganda ini berjaya dimainkan oleh Tun Mahathir sehingga mereka menang dalam PRU14  yang lalu.

Tetapi kini segala-galanya berubah, tiada lagi pembaziran yang akan berlaku apabila projek ini diteruskan di bawah kerajaan Pakatan Harapan. Malah Tun Mahathir turut memperakui projek ini mampu membangunkan ekonomi negara dan mampu merapatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara iaitu Malaysia dan China. 

Secara tidak langsungnya, Tun Matahthir terpaksa bersetuju bahawa cadangan Najib Razak untuk membuat projek ini sememangnya memberi impak proaktif kepada pembangunan negara. Bukan seperti katanya dahulu bahawa projek ini hanya membazirkan duit rakyat. 

Tetapi agak kelakar apabila Tun Mahathir begitu bangga apabila projek ECRL diteruskan dengan kos yang lebih rendah iaitu sebanyak 44 bilion. Sedangkan projek ini diteruskan dengan kos yang lebih rendah kerana mengambil kira beberapa faktor penting. 

Antara faktornya ialah landasan asal sepanjang 688 km dikurangkan menjadi 648 km yakni kurang sebanyak 40 km. Malah projek ini juga diteruskan tanpa merentasi Banjaran Titiwangsa, ini bermakna pembinaan terowong juga tidak akan diteruskan. Kemudian pembinaan stesen ECRL di Gombak juga turut tidak tersenarai dalam perjanjian baharu antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Apabila dinilai semula ia sangat logik jika kos projek ini dikurangkan kepada 44 bilion. Jadi tidak ada apa-apa yang perlu dibanggakan oleh Tun Mahathir apabila kos projek ini berkurangan  hanya sebanyak 21.5 bilion. Ini kerana kos projek sebelum ini lebih tinggi disebabkan faktor-faktor di atas yang telah disebutkan tadi. Jadi apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir sama sahaja dengan Najib Razak. 

Malah ada juga ura-ura yang mengatakan bahawa Tun Mahathir terpaksa menurunkan kos projek ECRL ini kerana mahukan negara China membeli minyak sawit negara ini. Kalau benar-benar Tun Mahathir hebat, kenapa tidak memaksa negara China membeli minyak sawit kita tanpa meneruskan apa-apa projek bersama?

Persoalannya lagi, betul atau tidak negara China diberikan 50% kepentingan dalam syarikat konsesi ECRL berbanding 100% milik Malaysia seperti mana perjanjian antara Malaysia – China di bawah pemerintahan Barisan Nasional? 

Mungkin persepi rakyat akan melihat pengurusan ECRL dibawah Tun Mahathir lebih telus kerana ‘berjaya’ mengurangkan kos projek ini. Tetapi bagi saya tidak, ia sama sahaja apa yang dilakukan oleh Najib Razak cuma diubah sedikit ‘rencahnya’. Tetapi jika benar syarikat di Malaysia hanya memiliki 50% kepenting sahaja, tindakan ini amatlah rugi kepada Malaysia.

Ingatlah sekarang ini zaman di mana media sosial menjadi medium utama pencarian maklumat oleh rakyat. Jadi jangan fikir semua orang akan terpengaruh dengan setiap kenyataan yang dilakukan oleh pihak Tun Mahathir mahupun kerajaan Pakatan Harapan. 

Pada zaman Tun Mahathir dulu yang susah untuk akses maklumat dan masih belum lagi ada media sosial mungkin ramai akan terpengaruh tetapi sekarang tidak lagi. Rakyat akan menilai terlebih dahulu sebelum percaya bulat-bulat apa yang dikatakan oleh Tun Mahathir dan kerajaan Pakatan Harapan. 

Sekian.

Dhia Hani merupakan Ahli Persatuan Pemikir Muda Johor. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.