Benda tak elok ni…

single-image

Rutin mingguan seorang wanita menziarahi pusara suaminya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Bahagia, Kampung Pok, Gelang Patah, Iskandar Puteri, setiap Jumaat dikejutkan apabila mendapati sebuah kubur lain di kawasan berhampiran digali sehingga menampakkan kain kafan jenazah berkenaan.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, wanita berkenaan datang ke tanah perkuburan bagi menziarahi pusara suaminya, sebelum terkejut apabila melihat keadaan kubur yang digali itu.

Bekas Ketua Kampung Pok, Abu Bakar Abd Rashed berkata, wanita berkenaan memaklumkan kejadian itu kepada Ahli Jawatankuasa Masjid An-Nur, Kampung Pok sebelum mereka bergegas ke lokasi untuk membuat pemeriksaan.

“Memang betul memang ada satu kubur seorang lelaki yang meninggal dunia akibat kemalangan November lalu, dilihat digali semula.

“Tanah digali itu ditimbun di atas kubur bersebelahannya. Kami nampak ada sebuah kubur seolah-olah digali dan ada sudah digali serta ditimbus semula atau tidak sempat digali,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan itu, hari ini.

Abu Bakar berkata, kejadian itu kali pertama berlaku selepas penempatan baharu tanah perkuburan di kawasan berkenaan sejak 1960-an.

Beliau berkata, lokasi tanah perkuburan itu jauh dari rumah penduduk dan ia penempatan baharu selepas Tanah Perkuburan Islam Kampung Pok Besar sudah penuh.

Ditanya kemungkinan motif kejadian itu, Abu Bakar berkata, ia mungkin ada unsur perbuatan mistik atau syirik yang berlaku.

“Sebelum ini memang tidak pernah berlaku kejadian sebegini. Kami mengesyaki insiden ini mungkin ada berunsurkan perbuatan mistik atau syirik.

“Tengok pada cara kubur itu digali pun, nampak yang orang ini hanya hendak mendapatkan sesuatu dan bukan cara seseorang penggali kubur sebenar.

“Mungkin nak dapatkan sesuatu sama ada kain kafan atau tali mengikat jenazah, lagi pun kubur ini masih baharu,” katanya.

Tinjauan Harian Metro di lokasi mendapati keadaan kubur masih terbuka dengan tanah digali bertimbun di kubur bersebelahannya.

Difahamkan, lubang digali di bahagian permukaan kubur adalah sepanjang kira-kira 1.52 meter dan sedalam 2.13 meter dengan satu lubang kecil yang dibentuk mungkin hanya untuk membolehkan tangan seseorang dimasukkan untuk mencapai jenazah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi, mengesahkan mengenai kejadian itu.

“Pada 9 pagi, Ahli Jawatankuasa Masjid menjalankan pemeriksaan dan mendapati sebuah kubur digali sehingga ke liang lahad dan menampakkan kain kafan.

“Selain itu, di kubur berhampiran terdapat kesan tanah yang digali itu,” katanya.

Beliau berkata, polis ke lokasi selepas menerima laporan penduduk menemui satu penggali tanah, sebilah pisau di tebing lubang kubur digali dan sebilah pisau dalam lubang kubur dipercayai milik penceroboh berkenaan.

“Kubur yang digali menempatkan jenazah seorang lelaki Melayu beragama Islam, berusia 58 tahun yang meninggal dunia disebabkan kemalangan jalan raya, November tahun lalu.

“Lokasi tanah perkuburan ini terletak kira-kira 700 meter dari rumah penduduk dan dipercayai mungkin dilakukan lebih daripada seorang individu,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan kerana menceroboh tanah perkuburan.

Sumber : Harian Metro

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.