Bekas pesakit Covid-19 dijemput sertai penyelidikan

single-image

Kuala Lumpur: Bekas pesakit Covid-19 dijemput menyertai penyelidikan mengenai tindak balas antibodi neutralisasi dalam kalangan pesakit Covid-19 di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian itu dijalankan sekumpulan penyelidik dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjemput rakyat Malaysia yang pernah dijangkiti kuman Covid-19 untuk menyertai penyelidikan perubatan bertajuk Kajian Membujur (Longitudinal Study) tindak balas antibodi neutralisasi dalam kalangan pesakit Covid-19 di Malaysia.

“Kajian ini penting bagi mengetahui paras antibodi neutralisasi (imuniti) di dalam darah yang boleh menghalang kuman Covid-19 dari menjangkiti pesakit yang pernah dijangkiti sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini.

Beliau berkata, penyelidikan itu mendapat kelulusan Jawatankuasa Etika Penyelidikan Perubatan (MREC).

Katanya, orang ramai yang ingin mendapatkan keterangan lanjut boleh menghubungi Dr Rafiza Shaharudin di talian 03-33627753 atau e-mel [email protected] dan Dr Masita Arip di talian 03-33627735 ([email protected]).

Sumber : Harian Metro

Leave a Comment

Your email address will not be published.