Baru sedar tidak mampu hapus tol – Dr Mahathir

single-image

PUTRAJAYA : Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui kerajaan tidak mampu untuk menghapuskan kutipan tol seperti mana yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU15) yang lalu.

Selepas setahun berlalu, kerajaan katanya sedar terlalu banyak beban kewangan yang perlu ditanggung sekiranya kutipan tol dihapuskan di samping merencatkan penyertaan swasta di dalam sebarang projek pembinaan lebuh raya selepas ini.

“Sebelum ini apabila kami membuat pengumuman untuk menghapuskan tol, kami tidak tahu akibatnya tetapi sekarang kami sudah sedar iaitu apabila mahu menghapuskan tol kerajaan perlu membeli kesemua lebuhraya dan ia memerlukan wang yang banyak.

“(Penghapusan tol) PLUS sahaja menyebabkan kerajaan perlu membayar sebanyak RM30 bilion, jadi persoalannya adakah kita mahu menggunakan wang berkenaan untuk perkara itu sahaja atau kita mahu menggunakan RM30 bilion untuk tujuan lain lebih penting.

“Selain itu, selepas tol dihapuskan, kita tidak lagi mempunyai pendapatan daripada penggunaan lebuhraya sedangkan jalan-jalan tersebut perlu diselenggara. Kos penyelenggaraan pula menelan belanja berbilion ringgit.

“Jika kita mahu membina lebuhraya lain, kerajaan pula yang perlu membina dan menanggung kosnya.

“Ini kerana tiada kutipan tol boleh dibuat dan ini menyebabkan tiada syarikat swasta yang akan berminat untuk melabur di dalam pembinaan lebuh raya kerana mereka tidak akan mendapat apa-apa (keuntungan).

“Ia akan menyebabkan masalah kewangan kerajaan bertambah,” katanya semasa temubual khas sempena ulang tahun pertama Kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya, Isnin lalu.

Februari lalu, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan satu kenyataan yang mengatakan kerajaan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Bhd. untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya iaitu Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong Smart.

Ini katanya, bagi menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya.

Dengan itu mekanisme kutipan tol sedia ada akan dihapuskan dan digantikan dengan caj kesesakan.

Penghapusan kutipan tol yang menjadi antara perkara terpenting dalam manifesto PH pada PRU15 yang lalu mendapat tentangan hebat daripada parti Barisan Nasional dan pakar-pakar ekonomi kerana cadangan tersebut dikatakan tidak munasabah.

Ini kerana selain memudaratkan kewangan kerajaan akibat pembayaran pampasan, kebanyakan pemegang konsesi lebuh raya di Malaysia adalah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Khazanah Nasional Bhd. dan Permodalan Nasional Bhd.

Dalam temubual yang sama, Perdana Menteri mengakui banyak lagi perkara yang tertulis di dalam manifesto PRU15 sukar dicapai antaranya penghapusan hukuman mati, meratifikasi Statut Rom dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Sumber : malaysiagazette.com

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.