Banjir: Mangsa di Johor meningkat sedikit kepada 3,314 orang

single-image

Johor Bahru : Fenomena air pasang besar yang berlaku sejak semalam, menyebabkan beberapa lokasi rendah bersebelahan sungai dinaiki air.

Ia menyebabkan jumlah mangsa banjir di Johor meningkat sedikit kepada 3,314 orang membabitkan 915 keluarga di 33 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah, setakat 7.30 pagi ini.

Ia berbanding seramai 3,274 orang membabitkan 902 keluarga, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, walaupun hujan sudah berhenti di kebanyakan kawasan di negeri ini, langkah berjaga-jaga dan pemantauan masih diteruskan berikutan keadaan cuaca tidak menentu selain fenomena air pasang besar yang diramal berlaku sehingga Sabtu ini.

Beliau berkata, kini hanya lima daerah iaitu Kota Tinggi, Johor Bahru, Kluang, Segamat dan Pontian terjejas banjir.

Ia selepas Mersing dan Kulai yang dilanda banjir gelombang kedua sejak kelmarin pulih sepenuhnya apabila PPS di daerah berkenaan ditutup masing-masing jam 3 dan 2 petang, semalam.

Katanya, Pontian yang juga daerah terbaharu banjir di Johor kekal dengan 17 mangsa banjir daripada empat keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS, pagi ini.

“Kota Tinggi yang kekal sebagai daerah paling terjejas banjir di Johor, merekodkan peningkatan mangsa banjir kepada 2,202 orang daripada 587 keluarga di 22 PPS pagi ini, berbanding seramai 2,159 orang mangsa daripada 573 keluarga, malam tadi.

“Johor Bahru pula terus mencatatkan penurunan mangsa banjir kepada seramai 922 orang daripada 284 keluarga di lapan PPS, pagi ini, berbanding seramai 925 orang daripada 285 keluarga, malam tadi.

“Segamat kekal dengan 76 mangsa banjir daripada 20 keluarga di sebuah PPS, pagi ini.

“Kluang juga kekal dengan seramai 97 mangsa banjir daripada 20 keluarga di sebuah PPS, pagi ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sumber : Harian Metro

Leave a Comment

Your email address will not be published.