Banjir di Kota Tinggi mulai surut

single-image

Kota Tinggi : Cuaca cerah di sebelah pagi menyebabkan keadaan banjir di pusat bandar di sini, beransur pulih dan mula surut.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah ketika dihubungi berkata, faktor cuaca cerah pada sebelah pagi dan mendung tanpa hujan petang ini menyebabkan paras air banjir di pusat bandar ini semakin surut.

“Laluan keluar masuk ke pusat bandar ini iaitu Jambatan Kota Tinggi di Jalan Tun Habab sudah boleh dilalui kenderaan ringan.

“Bagaimanapun beberapa laluan bersebelahan Sungai Johor masih ditutup berikutan banjir masih menenggelamkan sebahagian laluan dan premis di situ.

“Langkah berjaga-jaga juga masih diambil dengan pemantauan diteruskan berikutan ramalan cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia berlaku hujan daerah ini esok,” katanya.

Pagi tadi, NSTP melaporkan sebahagian pusat bandar di sini, masih digenangi air banjir walaupun cuaca panas.

Tinjauan di kawasan berkenaan melaporkan mendapati premis bersebelahan Sungai Johor sehingga kira-kira 400 meter dari sungai masih kekal ditenggelami air separas antara 1.0 hingga 1.3 meter.

Mangsa banjir di daerah ini menurun kepada 2,372 orang daripada 590 keluarga di 119 PPS petang ini berbanding seramai 2,707 orang daripada 682 keluarga, tengah hari tadi.

Keadaan cuaca yang baik menyumbang kepada penurunan jumlah mangsa banjir di negeri ini kepada 4,518 orang daripada 1,143 keluarga di 40 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah, setakat jam 4 petang ini berbanding 5,499 orang daripada 1,414 keluarga, tengah hari tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, dilaporkan berkata sehingga kini, sebanyak 13 PPS sudah ditutup sejak tengah hari tadi, berbanding 53 PPS yang dibuka secara keseluruhan.

Sumber : Harian Metro

Leave a Comment

Your email address will not be published.