Bangsa Johor dan Bangsa Malaysia: Kebenaran yang Mana Satu?

single-image

Beberapa hari lalu, rakyat Malaysia telah dihebohkan mengenai penggunaan terma ‘Bangsa Johor’. Menurut beberapa buah pihak, terma ini tidak patut dipakai dan harus digantikan dengan terma ‘Bangsa Malaysia’.

Dikatakan juga orang Johor tidak boleh obses, tidak boleh taksub dan tidak boleh bersikap kenegerian kerana ia tidak sihat bagi Malaysia. Ini kerana Malaysia adalah sebuah Persekutuan dan semua orang harus menghormati realiti itu.

Mereka juga bercakap atas dasar kebenaran berdasarkan sudut politik, antropologi dan sosiologi.

Tetapi, adakah terma ‘Bangsa Johor’ ini tidak benar dari sudut politik, antropologi dan sosiologi? Dalam maksud yang lain, adakah terma ‘Bangsa Johor’ ini dibuat dengan tidak sengaja dan secara suka-suka?

Di sini saya sertakan sisi pandang yang berbeza mengenai terma ‘Bangsa Johor’ dan semangatnya yang selalu disalah tafsir oleh pelbagai pihak baru-baru ini.

Pertama, kita tidak patut menilai sejarah Malaysia bermula dari saat kemerdekaan dan pembentukan Malaysia. Ianya adalah amat cetek dan membelakangkan asal usul serta nilai sejarah setiap komuniti yang membentuk Malaysia moden sekarang.

Terma ‘Bangsa Johor’ telah wujud sebelum kemerdekaan lagi dan merupakan cetusan idea dan naratif yang berasal dari Istana Johor. Ia bertujuan untuk menyatukan rakyat di bawah naungan keluarga Diraja Johor, terutamanya Duli Yang Maha Mulia Sultan Sir Abu Bakar.

Secara antropologi dan sosiologi juga, rakyat-rakyat pada waktu dahulu lebih suka mengklasifikasikan diri mereka sebagai rakyat di bawah satu tanah jajahan Kesultanan (rakyat Kesultanan Kedah, rakyat Kesultanan Pahang) dan juga berdasarkan geografi (orang laut, orang Muar).

Kedua, konsep ‘Bangsa Johor’ telah lama menyatukan pelbagai bangsa di Johor. Orang Melayu, orang India, orang Cina dan komuniti-komuniti lain turut sama bernaung di bawah konsep ini.

Masyarakat India di Johor terutamanya amat berbangga berada di bawah naungan ‘Bangsa Johor’. Di bawah konsep ini kita telah diberi ruang dan peluang yang seluasnya untuk bersama menikmati serta bersaing dalam arus pembangunan negeri. Mereka boleh berinteraksi dan mengambil bahagian dalam rutin seharian tanpa prejudis dan disisihkan.

Tambahan lagi, kaum India di Johor tidak mempunyai sebarang masalah bernaung sebagai ‘Bangsa Johor’ selama ini. Konsep ini jugalah telah membela nasib dan kebajikan bukan sahaja masyarakat India, tetapi masyarakat lain di dalam Negeri Johor khususnya.

Maka, mengapa perkara baik seperti ini menjadi sesuatu yang mengancam kestabilan dan pembinaan Persekutuan Malaysia pula? Sedangkan semua lapisan masyarakat di negeri ini amat senang mengamalkan konsep ini.

Ketiga, akan wujud perbezaan pendapat berkenaan interpretasi sejarah, politik, sosiologi dan antropologi berkenaan konstruk Persekutuan Malaysia.

Pihak yang sengaja menjaja isu ini seharusnya lebih bijak dalam memberikan pendapat dan menguruskan perbezaan.

Dampingilah ahli-ahli akademik dan mintalah pandangan terhadap isu yang berkait. Janganlah memberikan pandangan peribadi terhadap sesuatu perkara yang amat sensitif seperti ini.

Malaysia tidak memerlukan pihak-pihak yang populis dan dengan sengaja menimbulkan ketegangan dan salah faham. Terutama sekali terhadap  dasar serta konsep asas Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan sejarah tradisinya.

Mengatakan bahawa konsep ‘Bangsa Johor’ tidak lagi relevan atau tidak terpakai adalah penzahiran kepada butanya seseorang itu pada sejarah negara serta penduduknya yang pelbagai.

Mungkin golongan terbabit merasakan pendirian dan pendapat mereka adalah satu kebenaran. Tetapi kita di Johor, terutama sekali masyarakat India telah lama hidup di bawah payung konsep ‘Bangsa Johor’ ini. Ia langsung tidak memudaratkan sesiapa, selama beratus tahunnya.

YB R.Vidyananthan merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Johor Kawasan Kahang. Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian JohorPress.


Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.