Bandar inovasi pertama Asia Tenggara di Iskandar Puteri

single-image

KUALA LUMPUR: Peneraju teknologi kecerdasan buatan (AI), Skymind bakal membangunkan Bandar Inovasi Skymind di Iskandar Puteri, Johor bagi memberi tumpuan kepada peningkatan ekonomi serta kehidupan menggunakan komponen inovasi AI.

Ia akan menjadi bandar inovasi pertama di Asia Tenggara yang menggunakan teknologi AI, sekali gus membantu mempercepat usaha digitalisasi Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Skymind Global Limited, Shawn Tan, berkata pihaknya melihat potensi besar untuk membina Bandar Inovasi Skymind di Johor kerana ia salah satu daripada kawasan paling dinamik di negara ini.

“Kami mencipta nilai untuk pembangunan bandar dan Skymind sudah berjaya melakukannya di Digital Fujian, China.

“Ia adalah bandar inovasi AI yang berfungsi sepenuhnya, mampu menghasilkan impak ekonomi yang besar. Kami akan membawa komponen yang dibina secara global ke Malaysia dan juga rantau ini.

“Kumpulan akan menjadikan inovasi ini dapat disesuaikan dengan ekosistem serantau,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketika ini, lebih daripada 350 syarikat Fortune 500 global menggunakan teknologi Skymind termasuk IBM, Huawei dan NASA.

Sementara itu, Pengarah Urusan Skymind Future Cities, Eow Wan Lin berkata, Bandar Inovasi Skymind bermatlamat menjadi perbandaran teratas di Malaysia dan Asia Tenggara.

Beliau berkata, bagi memastikan kejayaan visi kumpulan itu, Skymind menjalin kerjasama strategi dengan beberapa rakan kongsi seperti IIB Ventures Sdn Bhd (IIBV), anak syarikat Iskandar Investment Bhd.

Katanya, Bandar Inovasi Skymind akan memberi tumpuan kepada tiga hab utama iaitu ‘Talent Hub for AI Talent Development’; ‘Innovation Hub’ dan ‘AI Innovators and the Regional R&D Hub’ bagi penyelidikan serta pengembangan aplikasi AI.

“Selain IIBV, Skymind akan bekerjasama dengan lebih banyak lagi rakan strategik tempatan dan global untuk berinovasi di Bandar Inovasi Skymind,” katanya.

Pengarah Urusan IIB Ventures Sdn Bhd, Zulfiqar Zainuddin, pula berkata visi yang diketengahkan Skymind adalah sesuatu yang berani dan menarik.

Beliau berkata, Bandar Inovasi Skymind juga seiring dengan agenda digital Johor dan melengkapkan projek pembangunan Medini Iskandar Malaysia.

“Ia akan memberikan kepelbagaian program inovasi untuk menyediakan syarikat yang terbabit ekosistem pertumbuhan serta memupuk budaya inovasi dan keusahawanan,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published.