Bakal MB Johor perlu berpengalaman, baik dengan istana

single-image

JOHOR memerlukan menteri besar yang bukan sahaja berpengalaman luas dalam soal pentadbiran negeri malah mempunyai hubungan baik dengan pihak istana.

Selain itu, pemimpin yang bakal dipilih kelak juga perlu mempunyai kemahiran dalam membantu ‘mengeratkan’ lagi hubungan dua hala antara kerajaan negeri dengan Putrajaya.

Penganalisis politik yang juga pensyarah kanan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, ini kerana Johor berada dalam kedudukan tersendiri dan pesat membangun berbanding negeri lain.

Awang Azman berkata, calon pengganti menteri besar yang bakal dipilih kelak juga perlu melepasi ‘benchmark’ (penanda aras) kepimpinan Menteri Besar terdahulu (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ) yang terbukti berpengalaman baik di peringkat pusat atau negeri.

“Memang diakui bukan mudah untuk mentadbir Johor namun Mohamed Khaled sudah membuktikan kemampuan beliau dalam memacu pembangunan dan ekonomi negeri berkenaan.

“Sejarah lampau Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pihak istana Johor juga perlu diberi perhatian dan menteri besar yang akan dilantik perlu memiliki kebijaksanaan tinggi untuk mendekatkan lagi ‘jurang hubungan’ berkenaan.

“Jika pengganti menteri besar tidak dapat memenuhi keperluan itu, tidak mustahil polemik yang sama akan berulang pada masa hadapan,” katanya kepada Harian Metro.

Awang Azman berkata, pergolakan politik yang menyaksikan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian meletakkan jawatan, Isnin lalu itu juga disifatkan sebagai ujian besar kepada Pakatan Harapan (PH).

Katanya, isu seperti tragedi Sungai Kim-Kim, kunjungan ke Pulau Batam, lawatan ke aset Jabatan Laut bersama lima kapal yang didakwa memasuki perairan Singapura serta sijil palsu jelas memberi reputasi negatif kepada Osman.

“Pada masa sama, isu terbabit turut memberi tekanan kepada PH dan ia mungkin menjadi faktor mengapa Osman meletakkan jawatan meskipun baru 11 bulan menerajuinya,” katanya.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, meskipun dikhabarkan sudah ada empat nama sebagai pengganti menteri besar yang akan dipersembahkan untuk perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar namun Baginda mempunyai kuasa untuk menolak senarai berkenaan.

“Ini kerana berdasarkan undang-undang tubuh Negeri Johor, Sultan mempunyai kuasa mutlak dalam pemilihan menteri besar.

“Ia turut ditegaskan oleh Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi catatan di laman Twitter Baginda bahawa kuasa memilih menteri besar Johor adalah hak mutlak Sultan,” katanya.

Sementara itu, Osman yang bertanding di kerusi DUN Kempas memperoleh 21,137 undi mengalahkan lawannya dengan majoriti 9,178 undi iaitu calon BN, Datuk Ramlee Bohani yang menerima 11,959 undi manakala calon PAS, Dzulkifli Suleiman menerima 2,321 undi.

Pengerusi PH Johor dan Bersatu Johor itu, pernah menyandang jawatan sebagai ADUN Kempas di bawah BN selama tiga penggal mulai 1999 hingga 2013 sebelum digugurkan daripada bertanding pada PRU-13.

Walaupun tempoh menerajui pentadbiran kerajaan negeri terlalu singkat, Osman adalah Menteri Besar yang agak kontroversi.

Sebaik dilantik, beliau membuat kenyataan kerajaan PH tidak akan memberi sebarang peruntukan kepada ADUN pembangkang di Johor, berbeza dengan pendirian PH di peringkat pusat yang mahu memberi peruntukan kepada semua wakil rakyat, tanpa mengira sama ada kerajaan atau pembangkang.

Sumber : Harian Metro

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.