Ayob Khan mengganas lagi, sindiket bitcoin jadi sasaran

single-image

Pasir Gudang: Polis negeri ini menumpaskan sindiket perlombongan bitcoin yang menjalankan kegiatan mereka dengan mencuri arus elektrik menyebabkan kerugian RM8.6 juta kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket itu ditumpaskan dalam operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah negeri bersama pasukan ‘Seal TNB’ pada semalam dan kelmarin, di sekitar Johor Bahru, Pasir Gudang, Tangkak dan Muar.

“Kami menyerbu 21 rumah kedai dan merampas 1,746 mesin melombong bitcoin dengan nilai rampasan RM2.6 juta, iaitu rampasan terbesar di negeri ini setakat ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seri Alam di sini, hari ini.

Di Johor Bahru Selatan, lima premis diserbu membabitkan rampasan 421 mesin bitcoin.

Pasukan itu turut menyerbu lapan premis di Seri Alam dan merampas 608 mesin bitcoin, enam premis di Tangkak dengan rampasan 553 mesin bitcoin dan dua premis di Muar membabitkan rampasan 132 mesin bitcoin.

“Kami turut menahan tujuh lelaki tempatan berusia 24 hingga 64 tahun. Penahanan ini membolehkan kami menumpaskan sindiket terbabit yang bergerak aktif sejak awal 2020.

“Suspek yang ditahan ini berperanan sebagai individu yang memastikan premis menempatkan mesin bitcoin berada dalam keadaan baik dan tidak terbakar,” katanya.

Menurut beliau, sebahagian besar premis yang diserbu terletak di tingkat atas bangunan.

Ayob Khan berkata, setiap seunit mesin melombong bitcoin berkenaan memerlukan satu kuasa kuda untuk berfungsi selama 24 jam.

“Seunit mesin bitcoin ini boleh dibeli pada harga RM200 hingga RM3,000 secara atas talian,” katanya.

Menurut Ayob Khan, kegiatan mengubahsuai dan melakukan penyambungan secara haram pada pendawaian elektrik ini boleh menyebabkan berlakunya kebakaran, kerosakan dan gangguan arus elektrik pada premis berdekatan.

Beliau berkata, pihaknya masih mengenalpasti saki baki ahli sindiket yang masih bebas.

“Ada kemungkinan sindiket ini turut mempunyai rangkaian dengan sindiket di negeri lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan melakukan khianat ke atas harta benda milik TNB,” katanya.

Manakala bagi pihak TNB, tindakan diambil mengikut Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Ayob Khan berkata, berdasarkan sumber TNB Johor, sepanjang 2020, TNB Johor kerugian kira-kira RM90 juta akibat aktiviti mencuri arus elektrik bagi kegiatan melombong bitcoin.

“Polis juga akan lihat kesesuaian untuk mengambil tindakan terhadap suspek ini mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

“Ketujuh-tujuh suspek direman bermula semalam hingga esok bagi membantu siasatan,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Leave a Comment

Your email address will not be published.