Apa yang rakyat Johor impikan untuk Bajet Johor 2021

single-image

Bajet Johor 2021 dijangka bakal dibentangkan pada hujung November ini dan sudah pasti ia menjadi tumpuan pelbagai pihak. Dalam pada itu juga, seluruh rakyat negeri Johor tentunya akan meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan negeri Johor melalui inisiatif-inisiatif yang akan dibentangkan dalam Bajet Johor 2021  kelak.

Melalui satu maklum balas yang dibuat di Facebook Johor Press, pelbagai cadangan telah dikemukakan oleh rakyat Johor kepada kerajaan negeri Johor. Malah dapat dilihat cadangan yang diberikan merangkumi pelbagai aspek dan ia memberi manfaat kepada semua golongan rakyat.

https://www.facebook.com/1071860782942949/posts/3179476222181384/?d=n

Pergi mana sahaja, mesti kita tidak lari daripada dengar orang mengeluh mengenai susahnya nak beli rumah di Johor. Apakan daya setiap tahun harga rumah di Johor ini semakin meningkat dan terus meningkat. Jadi cadangan pertama rata-rata rakyat mahukan kerajaan Johor menyediakan lebih banyak lagi Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) dengan harga yang lebih murah.

Dalam masa yang sama, rakyat juga turut merayu agar permudahkan urusan permohonan dan turut longgarkan syarat-syarat kelayakan untuk memohon RMBJ. Ini kerana ada golongan seperti ibu tunggal yang tidak berpeluang untuk memohon disebabkan status yang mereka pegang.

Kita dapat melihat, kadar pengangguran di negeri ini semakin meningkat sejak negara diancam dengan pandemik Covid-19. Apatah lagi, pintu sempadan yang masih tidak boleh dibuka menyebabkan ramai rakyat di Johor khususnya hilang pekerjaan. Cadangan kedua yang ramai lontarkan adalah kerajaan Johor perlu mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat khususnya kepada generasi muda.

Apa yang perlu tika ini, kerajaan Johor perlu menyusun semula ekonomi di Johor agar dapat mewujudkan kembali peluang pekerjaan yang lebih banyak. Di samping memberi pendapatan yang setimpal kepada rakyat. Peluang pekerjaan ini juga merangkumi penubuhan pusat-pusat Latihan kemahiran bagi meningkatkan kecekapan dan kemahiran golongan muda dalam sektor pembuatan, teknologi, pertanian dan pengendalian mesin. Usaha ini sedikit sebanyak mampu merealisasikan 7 Ikhtiar Johor yang telah diuar-uarkan sebelum ini.

Malah, akibat pandemik Covid-19 juga banyak perniagaan yang terjejas dan ada antara mereka tidak mampu membayar sewa pada kadar yang tinggi. Bagi cadangan ketiga, peniaga-peniaga di Johor mengharapkan kerajaan Johor dapat menyediakan ruang atau premis perniagaan dan menyewakannya dengan harga yang lebih rendah. Ini termasuk membantu peniaga-peniaga di tepi jalan untuk mendapatkan ruang niaga yang lebih selesa dan kondusif.

Tambah lagi, ada yang berpandangan supaya kerajaan Johor memberi pinjaman dan perbanyakan bantuan modal kepada anak-anak muda yang baharu hendak berjinak-jinak dalam bidang perniagaan. Malah, rata-rata peniaga juga berharap urusan untuk mendapat lesen perniagaan dipermudahkan dan dipercepatkan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab.

Rata-rata rakyat berpandangan bahawa negeri Johor ini sudah sesuai mempunyai jaringan pengangkutan awam yang lebih cekap. Jadi cadangan keempat, rakyat mahukan pembangunan infrastruktur pengangkutan awam di Johor. Mereka berpandangan negeri Johor sepatutnya sudah ada jaringan pengangkutan rel awam seperti MRT, Monorel dan sebagainya.

Dengan adanya kemudahan ini, ia dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan pusat bandar dan juga kawasan pinggir bandar. Tidak boleh dinafikan dengan memperluaskan jaringan pengangkutan awam, ia akan membawa satu transformasi besar terhadap ekonomi negeri. Lebih utama dapat mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat.

Antara cadangan lain yang diberikan adalah membaik pulih sistem saliran dan menaik taraf sungai di seluruh negeri Johor. Kerajaan Johor juga diminta menyediakan bantuan kewangan dan kemudahan asas untuk membela nasib asnaf, orang miskin dan OKU di Johor.

Seluruh rakyat Johor dari pelbagai latar belakang mengharapkan bantuan dan inisiatif melalui Bajet Johor 2021 ini.  Jadi diharapkan Bajet Johor 2021 dapat memfokuskan kepada isu-isu yang memihak kepada rakyat agar nasib rakyat terus dibela.

-JohorPress

Leave a Comment

Your email address will not be published.