Angan Mat Jenin Anwar Ibrahim, PKR sendiri retak menanti belah

single-image

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga hari ini mengatakan tidak menolak kerjasama parti itu dengan UMNO kononnya bagi memperlihatkan ada daripada UMNO yang turut bersama serta menyuarakan sokongan terhadapnya.

Apa yang dilakukan Anwar Ibrahim hanyalah diibaratkan seperti peribahasa Melayu, angan-angan menerawang langit. Sedangkan, masalah dalaman dalam partinya sendiri masih tidak dapat diatasi, apatah lagi ramai ‘nama besar’ dalam PKR sendiri angkat kaki meninggalkan beliau keseorangan berangan Mat Jenin.

Lihat sahajalah heiraki atau barisan kepimpinan PKR 2018-2021, selain Anwar Ibrahim, siapakah yang anda lihat masih berada dalam posisi jawatan kanan dalam kepimpinan parti itu? Semuanya sudah kosong dan lari meninggalkan PKR. Kerana semuanya sudah nampak dan sedar diperalat hanya untuk memenuhi kerakusan Anwar Ibrahim untuk menjawat jawatan Perdana Menteri.

Jadi, apa yang beliau lakukan untuk mengukuhkan parti beliau sejak beliau keluar dari penjara ketika PH menang menjadi kerajaan sebelum ini, sehinggalah bertanding dan menang sebagai Ahli Parlimen Port Dickson? Tiada apa melainkan merosakkan PKR itu sendiri sehingga ramai angkat kaki meninggalkan beliau. Bukan mahu sibuk mengenai hal ‘rumah tangga’ orang lain, tetapi ini adalah realiti yang dihadapi PKR ketika ini.

Apakah pemimpin seperti ini yang mahu bekerjasama dengan UMNO? Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor yakin, bukan sahaja kami bahkan ahli akar umbi dan rakyat marhaen sendiri dapat berfikir dan menilai kelayakan Anwar Ibrahim selepas apa yang berlaku. Pepatah orang tua-tua dahulu pernah mengungkapkan, kayu yang bengkok, masakan lurus bayangnya.

Sudah-sudahlah menggunakan alasan mahu bekerjasama dengan UMNO dan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor menasihatkan Presiden PKR untuk pandang sejenak ke cermin, perbetul dan kuatkanlah semula parti anda yang retak menanti belah itu, barulah bercerita soal hendak ambil alih kerajaan atau hendak jadi Perdana Menteri.

Rakyat sendiri sudah muak dengan permainan dibawa Anwar Ibrahim yang ‘bijak’ memanipulasi situasi dan tutur kata tatkala terdesak meraih sokongan. Itu sahajalah yang mampu dibuat Presiden PKR, kerana sehingga hari ini ayat keramat ‘I have number’ menjadi kata nista dan ‘bahan jenaka’ netizen serta rakyat.

Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor mengingatkan semua Ahli UMNO terutama di negeri Johor untuk tidak terpedaya dan termakan dengan permainan jijik Anwar Ibrahim, abaikan sahaja sebarang kata-kata yang tersembul keluar dari mulut beliau kerana sememangnya ia sekadar kata-kata kosong dan tiada apa yang perlu dibimbangkan agau diambil serius.

“Jika ada pemimpin2 tertingi Umno yg cuba-cuba bermimpi mahu bersama dgn mereka baik lupakan sahaja niatnya, kami pemuda Johor akan menghalang sekeras2nya”.

Kita akar umbi UMNO teruskan perjuangan dan melaksanakan tanggungjawab membela rakyat, menjadikan UMNO bertambah kukuh dan diyakini rakyat tanpa perlu memikirkan tipu daya yang cuba dimainkan pihak luar yang akhirnya merugikan UMNO sendiri.

Mohd Hairi Mad Shah
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor

Leave a Comment

Your email address will not be published.