Aminolhuda sudah berangan nak jadi MB Johor?

single-image

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi Pakatan Harapan Johor, Aminolhuda Hassan mengatakan bahawa pihaknya maklum mengenai kenyataan dari Anwar Ibrahim berkenaan dengan perkenan menghadap ke bawah DYMM pada 13 Oktober nanti.

Ekoran itu, Aminolhuda turut menegaskan bahawa Pakatan Harapan Johor sedia untuk kembali memerintah negeri Johor jika berlakunya perubahan kerajaan di bahagian Pusat. Tiada angin tiada ribut tiba-tiba sahaja keluarkan kenyataan seperti ini, apakah Aminolhuda sudah pasang angan-angan untuk menjadi Menteri Besar yang seterusnya?

Tetapi apakah Aminolhuda sudah lupa mengenai titah Sultan Johor sebelum ini? Ikutkan jika berlaku lagi krisis politik di Johor maka Sultan Johor tidak teragak-agak untuk membubarkan DUN sekali gus mengadakan Pilihan Raya Negeri bagi memberi ruang untuk rakyat membuat keputusan yang sewajarnya.

Apabila diteliti semula kenyataan Aminolhuda, jelaslah Pakatan Harapan Johor langsung tidak menghiraukan amaran Tuanku sebelum ini. Malah mereka seolah-olah sudah bersiap sedia mengheret Johor kembali ke kancah krisis politik demi kepentingan Pakatan Harapan untuk kembali berkuasa.

Tidakkah Aminolhuda belajar daripada kesilapan yang berlaku di PRN Sabah sebelum ini? Demi kuasa sanggup pemimpin-pemimpin politik meletakkan nyawa rakyat dalam keadaan bahaya. Sedangkan sekarang ini, Covid-19 kembali mengganas seperti dahulu tetapi masih lagi sibuk fokus mengenai politik dan kuasa. Apakah keadaan yang berlaku di Sabah selepas PRN akan berlaku di Johor disebabkan ketamakan ahli politik?

Apa pun sama-sama kita tunggu 13 Oktober nanti sama ada Aminolhuda akan menjadi Menteri Besar Johor yang baharu ataupun tidak.

Mohd Iqmal
Aktivis Muda Johor

Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress.

Leave a Comment

Your email address will not be published.