Amanat Menteri Pelajaran Abaikan Isu Kritikal Pendidikan Tinggi

single-image

Skrip yang sama. Diucapkan berkali-kali oleh pemimpin kerajaan. Kali ini, YB Maszlee Malik turut tidak mahu ketinggalan di belakang rakan-rakannya. Wawasan 2020 sentiasa diulang siar dalam ucapan Amanat Menteri Pendidikan 2019 dengan tanpa rasa jemu.

Malangnya, amanat yang disampaikan hanya sekadar penggunaan kosa kata tinggi. Tetapi hakikatnya, isi-isi yang dikemukakan lompang tanpa hala tuju dan penyelesaian masalah pendidikan dengan lebih jelas.

Jika diteliti secara halus dan terperinci dari awal hingga ke hujung ucapan amanatnya saya yakin seperti ada yang tidak kena. Dalam pengiraan saya terdapat beberapa perkara penting yang tidak diterjemahkan dengan baik oleh YB Menteri Pendidikan dalam amanat sulungnya tempoh hari. Di sini saya gariskan 4 perkara yang ghaib dalam amanat beliau untuk menyelesaikan masalah pendidikan di Malaysia.

Pertama, tentulah soal pendidikan percuma yang pernah dilaungkan beliau sebelum menyandang jawatan sebagai Menteri Pendidikan.

Saya kira ucapan amanat sulungnya ini adalah platform terbaik YB Maszlee Malik untuk memberi pandangan yang jelas tentang tawaran pendidikan perucma tersebut kepada rakyat.

Sekurang-kurangnya, nyatakan indikator apa yang bakal digunakan bagi membolehkan semua lapisan masyarakat dapat menikmati tawaran pendidikan percuma ini dari satu peringkat ke peringkat yang lebih tinggi. Atau maklumkan bilakah kerajaan akan bersedia untuk menunaikan janji ini.

Kedua, saya tidak pasti sama ada perkara ini terlepas pandang atau memang sengaja tidak ingin disentuhnya, iaitu Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN).

Dalam amanat tersebut, beliau ada menyatakan bahawa pemerkasaan mahasiswa dan mahasiswi di institusi pengajian tinggi dan institusi pendidikan telah dan akan terus diberi penekanan. Namun hairannya, mengapa tiada langsung disentuh berkenaan dengan isu PTPTN. Malah langsung tidak menyatakan status sebenar berkenaan pendiriannya sebelum ini yang menginginkan penangguhan pembayaran balik PTPTN kepada peminjam yang bergaji kurang daripada RM4,000 sebulan.

Sewajarnya beliau sebagai Menteri Pendidikan perlu memberi jaminan kepada peminjam untuk menangani isu PTPTN dengan lebih baik dan adil. Bukannya hanya sekadar pandai berjanji tetapi apabila minta dilaksanakan acap kali di tangguh atau mencari jalan lain yang akan memberi kesan negatif kepada peminjam PTPTN.

Ketiga, saya sangat setuju apabila YB Maszlee Malik menyatakan dalam ucapan amanatnya untuk memastikan guru-guru mengajar dan bekerja dengan gembira dan menyeronokkan. Malah beliau juga berkata pekerjaan yang mulia dan bermakna ini seharusnya tidak menjadi sebuah pekerjaan yang menyakitkan dan membebankan.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menyentuh dan memberi perhatian terhadap isu guru-guru yang stres kerana tidak dapat menukar penempatan. Apabila guru-guru mengalami masalah stres ia boleh disifatkan sebagai signal awal tentang kualiti pendidikan yang bakal diterima oleh para pelajar.

Seharusnya, Menteri Pendidikan mengemukakan cadangan yang ampuh untuk menyelesaikan masalah ini. Bukan hanya sekadar memberi fokus mengenai masalah tugas-tugas perkeranian yang terpaksa ditanggung oleh guru-guru sahaja. Tetapi beliau juga perlu serius mengambil berat berkenaan dengan isu ini.

Seperti kita tahu sebelum ini sudah banyak kisah-kisah guru yang tidak dapat menukar penempatan mereka. Sehinggakan ada guru yang merana selama 13 tahun kerana tidak berjaya dalam pertukaran guru dan bertindak untuk menyerahkan enam orang anaknya kepada sesiapa sahaja yang menginginkannya.

Jadi hal ini bukan perkara yang boleh dipandang rendah oleh semua pihak. Saya pasti jika perkara ini tidak dapat ditangani dengan baik pada akhirnya ia akan memberi impak besar kepada sistem pendidikan di Malaysia. Akhirnya nanti siapa yang rugi? Anak bangsa kita juga.

Keempat iaitu perkara terakhir yang saya rasa perlu diselitkan dalam ucapan amanatnya adalah mengenai peruntukan MyBrain. Hakikat yang perlu kita sedar bukan semua orang benar-benar berkemampuan dari segi kewangan untuk menampung kos pengajian di peringkat Sarjana dan Kedoktoran.

Jadi dengan penamatan peruntukan biasiswa MyBrain semestinya akan memberi tamparan yang hebat kepada mahasiswa yang sedang atau ingin melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi.

Justeru itu, YB Maszlee perlu memberi justifikasi yang lengkap dan jelas sama ada biasiswa MyBrain ini akan digantikan dengan skim biasiswa yang lain ataupun tidak.

Tujuan MyBrain dilancarkan adalah untuk meningkatkan jumlah pemegang Ijazah Sarjana (Master) dan Ijazah Kedoktoran (PhD) bagi mencapai sasaran 60 ribu pemegang Master dan PhD di Malaysia menjelang tahun 2023.

Jadi jika MyBrain ini benar-benar tidak akan diteruskan lagi, ini bermakna cita-cita untuk melahirkan 60 ribu pemegang Master dan PhD menjelang tahun 2023 akan terkubur begitu sahaja?

Keempat-empat perkara yang saya ketengahkan ini merupakan inti pati yang sepatutnya diberi perhatian dalam ucapan amanatnya tempoh hari. Saya harap YB Menteri melakukan sesuatu berhubung perkara ini. Kesemua isu ini sangat kritikal dan akan memberi kesan kepada hala tuju pendidikan negara.

-JohorPress

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.