Alat pengesan ada, sistem pemercik tiada

single-image

BANGUNAN yang menempatkan wad Perubatan Perempuan 1 (PP1) di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru (HSA) hanya mempunyai alat pengesan kebakaran tanpa sistem pemercik bagi memadam kebakaran.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min ketika mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya akan meneliti kesemua maklumat hari ini (Isnin) sebelum mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai kejadian semalam.

Kira-kira 3 petang semalam, blok wad menempatkan 24 pesakit terbakar, namun kesemua pesakit berjaya diselamatkan pasukan tindakan kecemasan terdiri daripada kakitangan HSA yang bertindak pantas memindah keluar pesakit sebaik menyedari kejadian itu.

Ditanya mengenai laporan siasatan kebakaran pada 2016 yang antara lain menyebut mengenai saranan perlu dilakukan terhadap HSA, beliau berkata, pihaknya baharu menerima kelulusan untuk tujuan pembaikan.

“Contohnya pendawaian semula, kita sudah mendapat kelulusan tetapi disebabkan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tender tidak dapat dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya.

“Tetapi kita sudah pun melalui Perintah Kawalan Perintah Pemulihan (PKPP), ia akan dilakukan segera,” katanya selepas melakukan pemeriksaan ke tempat kejadian bersama Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kira-kira 10 malam semalam.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan syarikat pengurus fasiliti akan turut diaudit lanjutan kejadian itu kerana siasatan akan mencakupi semua sudut.

Menurutnya, biarpun ia insiden kecil, pihaknya melihat ia sebagai satu kejadian serius.

Justeru, pihak atasan kementerian turut bergegas ke Johor Bahru bagi meninjau tempat kejadian.

“Esok saya akan membuat penelitian dengan pasukan,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan memberi sebarang komen mengenai kemungkinan syarikat pembekal peralatan dikenakan tindakan jika didapati bertanggungjawab terhadap kebakaran itu.

Sumber : Harian Metro

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.