Air Terjun Gunung Pulai 1 bebas kencing tikus

single-image

KULAI – Tiada kes kencing tikus (leptospirosis) dilaporkan berlaku di Air Terjun Gunung Pulai 1 di sini sepanjang tahun lalu walaupun pada 2018, kawasan air terjun berkenaan pernah ditutup beberapa kali disebabkan terdapat kes kencing tikus sehingga menyebabkan kematian selain persekitaran yang kotor.

Pengerusi Koperasi Sri Sekawan Kulai Jaya Berhad, Jamalludin Abd Hamid berkata, kawasan Air Terjun Gunung Pulai 1 yang dahulunya kotor kini bersih atas inisiatif beberapa badan sukarela.

Menurutnya, sekurang-kurangnya lima badan sukarela dengan penglibatan hampir 50 peserta datang ke Air Terjun Gunung Pulai 1 untuk mengutip sampah setiap minggu.

“Pihak koperasi yang banyak terlibat dengan aktiviti pelancongan sebagai sumber ekonomi. Penduduk kampung sangat berterima kasih kepada badan sukarela yang membantu pemuliharaan kebersihan kawasan air terjun di sini.

“Justeru pada tahun ini, kita mahu sasarkan tiada lagi kes kencing tikus dengan menganjurkan program Hari Kebersihan Sedunia pada bulan April nanti,” katanya.

Terdahulu seramai 430 peserta daripada 11 negara antaranya Perancis, Amerika Syarikat dan China menyertai acara larian Desa Lestari Trail Run ( DLTR) 3.0 di Kampung Sri Gunung Pulai.

Acara pelepasan peserta dan penyampaian hadiah dilakukan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Johor, Mahmud Kadar.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu 5 kilometer (km), 15km, 30km dan 50km dengan laluan merentasi kawasan air terjun dan berbukit.

Sementara itu seorang peserta, Izuan Ismail, 28, yang juga anggota tentera berkata, dia tertarik untuk kembali DLTR pada tahun ini selepas menyertainya pada tahun lepas.

” Saya menyertai acara 15km dan tidak sangka mendapat nombor 1 pada tahun ini.

“Seronok sebab laluan mencabar berbukit dan landai selain pemandangan gunung serta air terjun yang indah,” katanya.

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.