Adakah pelantikan Latheefa Koya langkah awal untuk menyelamatkan pemimpin PH dari lokap SPRM?

single-image


Cara pelantikan Latheefa Koya baru-baru ini sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus mendapat tentangan hebat dari pelbagai pihak termasuklah dari ahli Pakatan Harapan sendiri.

Umum mengetahui lantikan tersebut diputuskan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir. Apa yang pasti keputusan ‘muktamad’ Tun Mahathir membangkitkan kemarahan sesetengah pihak dan ia turut menimbulkan banyak tanda tanya kepada ramai pihak bahkan dari ahli-ahli Pakatan Harapan sendiri.

Sehingga ke hari ini juga Tun Mahathir masih tiada apa-apa penjelasan yang jelas berhubung  pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Malah pelantikan Latheefa Koya terus menjadi perhatian ramai apabila lantikan tersebut secara terang-terangan bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Janji mereformasi SPRM ini sudah termaktub dalam buku manifesto Pakatan Harapan. Di mana terdapat frasa yang mengatakan bahawa pelantikan pesuruhjaya-pesuruhjaya SPRM perlu disahkan secara demokratik oleh Parlimen. 

Jadi melihat kepada janji ini jelas ia jauh terpesong dengan tindakan Tun Mahathir yang berkeras  untuk mengekalkan pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Malah perkara ini juga turut menimbulkan persoalan tentang komitmen kerajaan Pakatan Harapan sama ada benar-benar kerajaan Pakatan Harapan serius dalam mengotakan janji mahupun tidak. Atau sekadar hanya melepaskan batok di tangga sahaja?

Apa yang lebih penting lagi, pelantikan ini bukan sahaja soal ‘pusingan U’ yang sudah acap kali dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan tetapi ia lebih daripada itu. Pendek kata, keputusan ini secara tidak langsung memberi kesan yang mendalam kepada Pakatan Harapan. Tidak mustahil kerajaan Pakatan Harapan akan berhadapan dengan masalah defisit kepercayaan dan kredilibiti sebagai kerajaan yang mentadbir negara ini. 

Persoalan terbesarnya adalah adakah pelantikan Latheefa Koya merupakan langkah awal untuk ‘menghalal’ segala agenda tersembunyi pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan selepas ini?

Atau sebenarnya Tun Mahathir mulai sedar bahawa dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan sendiri ramai yang terlibat dengan isu rasuah pada akhir-akhir ini?

Seperti kita tahu satu persatu pemimpin Pakatan Harapan terkantoi melakukan rasuah selepas mereka menjadi kerajaan. Misalnya, skandal pembelian banglo secara tunai yang dikaitkan dengan bekas Menteri Besar Johor, Osman Sapian pada awal April lalu. 

Kemudian, isu rasuah yang terpalit dengan Setiausaha politik Menteri Pertanian baru-baru ini ternyata mencalarkan lagi maruah Pakatan Harapan sebagai sebuah kerajaan yang ‘bersih’

Jadi adakah pelantikan Latheefa Koya sebagai langkah awal untuk menyelamatkan pemimpin PH dari lokap SPRM sekali gus melenyapkan segala kes yang timbul selepas ini?

Sekian.

Dhia Hani merupakan Ahli Persatuan Pemikir Muda Johor. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.