96% kawasan di Johor bakal dilengkapi Infra Telekomunikasi menjelang 2022

single-image

KOTA ISKANDAR : Kerajaan Negeri Johor menyasarkan 96 peratus kawasan di negeri ini bakal dilengkapi infrastruktur telekomunikasi menjelang tahun 2022.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, sasaran dibuat dalam mesyuarat Majlis Digital Johor yang diadakan hari ini.

Beliau berkata, sasaran berkenaan mampu dicapai menerusi Blueprint Digital Johor yang bakal disiapkan dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang.

”Hingga kini, peratusan liputan internet dan kemudahan infrastruktur di negeri ini telah mencapai 91 hingga 92 peratus. Kita yakin dengan lebih banyak pelaburan yang akan dijalankan, khususnya di kawasan luar bandar negeri ini, kita akan mencapai sasaran 96 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar secara maya bersama-sama pemberita di Pejabat Menteri Besar, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar berkata, menerusi blueprint yang bakal disiapkan nanti, Kerajaan Negeri Johor berhasrat untuk menjadikan infrstruktur komunikasi sebagai salah satu utiliti mandatori bagi setiap pembangunan di negeri ini.

”Setakat ini, usaha tersebut masih lagi belum dijalankan secara komprehensif. Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam memastikan usaha ini dapat direalisasikan menerusi Blueprint Digital Johor.

”Kerajaan Negeri Johor akan memastikan pemaju dapat menjadikan infrastruktur komunikasi sebagai infrastruktur penting selain utiliti sedia ada seperti elektrik dan air,” katanya.

Sumber :Makmur Johor

Leave a Comment

Your email address will not be published.