9 ADUN Selangor tidak terima peruntukan RM30,000 tangani Covid-19?

single-image

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor dituntut memberi penjelasan berhubung peruntukan Program Mesra rakyat sebanyak RM30,000 bagi menangani Covid-19 yang tidak disalurkan kepada sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini.

Ketua Pembangkang DUN Selangor, Rizam Ismail berkata, pihaknya mempersoalkan surat daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bertarikh hari ini menjelaskan peruntukan itu hanya disalurkan secara terus kepada Pusat Khidmat Masyarakat kecuali sembilan ADUN di negeri ini.

Menurutnya, perkara itu jelas menunjukkan sikap tidak adil kerajaan Selangor kerana sebelum ini di dalam ucapan Pakej Rangsangan Ekonomi menyatakan sejumlah RM30,000 akan disediakan kepada 56 ADUN di negeri ini untuk sebarang perbelanjaan aktiviti mesra rakyat khusus bagi keperluan harian mereka yang terkesan.

“Kerajaan Selangor masih bermain politik sempit yang tidak merentasi aspirasi rakyat untuk membantu sedaya upaya tanpa mengira fahaman politik di saat negara kita berusaha keras menangani wabak penyakit Covid-19 ini.

“Sembilan ADUN Selangor yang terkesan meliputi kawasan DUN Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Sungai Burong, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Semenyih, Sijangkang dan Selat Klang.” katanya, hari ini.

Rizam berkata, menjadi hasrat rakyat negeri ini untuk menerima bantuan daripada kerajaan Selangor melalui setiap ADUN kawasan yang lebih sinonim dan lebih dekat di hati rakyat setempat.

“Kita berharap kerajaan Selangor tidak politikkan bantuan ketika negara sedang berusaha membendung pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, kerajaan Selangor akan memberikan peruntukan khas kepada semua ADUN di negeri ini menerusi pengumuman Pakej Selangor Prihatin hari ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, anggaran peruntukan sekitar RM30,000 akan disediakan kepada 56 ADUN di negeri ini.

Sumber : Sinar Harian

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.