89 murid dijangkiti influenza di Johor

single-image

JOHOR BAHRU : Seramai 89 orang murid di Johor disyaki dijangkiti influenza.

Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan, berkata jangkitan itu membabitkan murid di enam daerah di negeri ini dari prasekolah sehingga pelajar tingkatan empat.

Katanya, Jabatan Pelajaran Johor mengarahkan semua pengetua dan guru besar mengambil tindakan pencegahan dan kawalan dengan segera.

“Berdasarkan data yang dipantau dan diperoleh daripada sekolah di negeri ini sehingga tengah hari ini, seramai 89 orang murid disyaki dijangkiti influenza.

“Data ini diperolehi daripada sekolah menerusi ibu bapa yang menghantar anak mereka mendapatkan rawatan kesihatan di pusat kesihatan kerajaan dan swasta.

“Jabatan Pelajaran Johor juga sudah mengeluarkan arahan murid, pelajar atau warga sekolah yang mempunyai simptom Influenza Like Illness (ILI), tidak dibenarkan hadir ke sekolah bagi mengelakkan penularan wabak ini, ” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu,Azman berkata, bagi kes yang membabitkan jumlah yang ramai sehingga memerlukan kelas atau sekolah ditutup, keputusan penutupan kelas dan sekolah akan dibuat bersama pejabat kesihatan berkaitan.

“Setakat ini, di Johor tidak perlu lagi penutupan kelas dan sekolah, namun kami masih memantau situasi semasa,” katanya.

Beliau berkata, jika terdapat murid atau warga sekolah yang hadir mempunyai simptom ILI, sekolah sudah diarahkan segera mengasingkan pesakit di dalam satu bilik khas atau di Bilik Sakit sebelum dihantar pulang dan mendapat rawatan segera.

“Sekolah yang mengalami kejadian influenza serta ketidakhadiran yang tinggi, perlu melaporkan segera kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Pejabat Kesihatan Daerah dengan segera,” katanya.

Azman berkata, Jabatan Pelajaran Johor juga memantau laporan dari PPD serta sekolah mengenai status terkini wabak influenza di negeri ini.

Katanya, Jabatan Pelajaran Johor juga sentiasa berhubung dengan pejabat kesihatan daerah untuk maklumat atau tindakan lanjut yang perlu diambil.

“Kita juga sedang memastikan pihak sekolah mempunyai alat penyaring suhu badan murid untuk mengesan murid yang demam.

“Sekolah yang mempunyai kes influenza juga sudah diarahkan mencuci kelas dengan pencuci antiseptik atau pembasmi kuman, selain perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sudah diedarkan ke semua sekolah,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.