7 kes ‘ tunggu ‘ Latheefa

single-image

KUALA LUMPUR : Pelbagai reaksi diberikan terhadap pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Latheefa Koya.

Namun, Pergerakan Pemuda UMNO menyokong pelantikan beliau dan mengucapkan selamat bertugas kepadanya itu dalam menggalas tanggungjawab meningkatkan budaya integriti di negara ini.

Berikut merupakan kenyataan penuh Ketua Pemudanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berhubung pelantikan itu:

Pergerakan Pemuda UMNO mengucapkan selamat bertugas dan tahniah di atas perlantikan bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Latheefa selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Syabas juga kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana meneruskan tradisi dan konsistensi mereka untuk terus memungkiri janji manifesto pilihanraya kepada rakyat yang ditanggapi bukan kitab suci yang wajib dipatuhi.

Justeru, bagi memberi peluang kepada Latheefa Koya membuktikan kesungguhan dan mengotakan janji beliau untuk membersihkan Malaysia daripada rasuah, Pemuda UMNO menyarankan agar beliau haruslah ‘without fear and favour’ mempercepatkan dan membuka kembali kertas siasatan tujuh kes berprofil tinggi melibatkan rakan-rakan pimpinan PH beliau yang ‘disenyapkan’.

Ini termasuklah:

(1) Kes rasuah dan salah guna kuasa di dalam projek Terowong Bawah Laut yang melibatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, sewaktu beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

(2) Kes pembelian banglo yang mencurigakan melibatkan Guan Eng sewaktu beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang dan Ahli Perniagaan Pang Li Khoon.

(3) Kes berkaitan kejanggalan senarai keanggotaan parti serta dakwaan pembelian undi di dalam pemilihan PKR yang lepas.

(4) Kes rasuah berkaitan pembelian Merdeka Palace Kuching Sarawak oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Zahid Md. Arip sewaktu beliau menjadi Pegawai Khas Pengerusi Feld, Tan Sri Isa Samad.

(5) Kes penerimaan wang sejumlah RM800,000 dari 12 kontraktor melibatkan Setiausaha Politik Menteri Pertahanan, Mohd Azhar Che Mat Dali.

(6) Kes memonopoli kontrak perolehan Kementerian oleh anak kepada Menteri Perlancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Muhammadin Ketapi.

(7) Kes terbaharu yang didedahkan oleh bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull di dalam mesyuarat yang melibatkan menteri-menteri dan ketua-Ketua setiausaha kementerian yang dipengerusikan Perdana Menteri berkenaan arahan seorang Menteri Kabinet terhadap penerima kontrak kerajaan untuk menyalurkan dana kepada parti tertentu dengan ugutan untuk menarik balik kontrak jika gagal melakukannya.

Setakat hari ini, ironinya maklum balas yang diterima dari SPRM mengenai kes-kes di atas sama ada ‘masih dalam siasatan’ atau ‘tiada tindakan lanjut’ seolah-olah ‘disenyapkan’.

Oleh yang demikian, bagi membuktikan kewibawaan dan integriti bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Pemuda UMNO mendesak supaya tujuh kes di atas dapat disegerakan tindakannya dan didedahkan statusnya kepada rakyat! 

Sumber : Utusan Online

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.