465,081 daftar dengan MySejahtera untuk terima vaksin

single-image

Putrajaya: Seramai 465,081 orang sudah berdaftar dengan MySejahtera untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat 2.45 petang, hari ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, orang ramai disaran memuat turun dan mengemas kini aplikasi MySejahtera bagi pendaftaran suntikan vaksin Covid-19.

“Aktifkan ‘push notification’ dalam MySejahtera bagi menerima maklumat terkini suntikan vaksin Covid-19.

“Pendaftaran untuk suntikan vaksin melalui www.vaksincovid.gov.my dan talian hotline pula akan bermula 5 Mac ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir di PICK yang bermula secara rasmi, hari ini dengan suntikan vaksin pertama di Malaysia terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain Perdana Menteri, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut antara individu terawal disuntik vaksin itu yang dilakukan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, Presint 11 di sini.

Selain mereka, empat lagi petugas barisan hadapan turut menerima suntikan sama.https://www.youtube.com/embed/pT9N_noXwN4

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy berkata, kerajaan akan berusaha memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada hampir 55,000 guru sebelum sesi persekolahan bermula.

Selain itu, pekerja kontrak di hospital dan klinik seperti tukang cuci dan pekerja am kesihatan akan dimasukkan dalam kumpulan fasa pertama PICK.

“Keputusan untuk meletakkan semua pekerja kesihatan itu memandangkan skop kerja mereka dalam sektor kesihatan.

“Jadi selain pegawai dan pembantu perubatan, jururawat serta pemandu ambulans, kita lakukan perlindungan vaksin dengan lebih meluas termasuk pekerja kontrak di sektor kesihatan,” katanya.

KAKITANGAN Kementerian Kesihatan membawa vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Covid-19 di Pejabat Kesihatan Daerah Presint 11, Putrajaya.FOTO Muzzafar Kasim
KAKITANGAN Kementerian Kesihatan membawa vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Covid-19 di Pejabat Kesihatan Daerah Presint 11, Putrajaya.FOTO Muzzafar Kasim

Beliau berkata, vaksinasi tidak dilakukan serentak seluruh negara, sebaliknya secara berfasa mengikut negeri.

Menurutnya, Selangor menjadi negeri terawal bermula program iaitu pada esok manakala tarikh bagi negeri lain adalah Pahang, Sarawak dan Terengganu (26 Februari), Kedah (28 Februari), Kuala Lumpur, Putrajaya, Perlis, Perak, Johor (1 Mac), Melaka, Kelantan, Negeri Sembilan (2 Mac) dan Sabah (4 Mac).

Katanya, semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara sudah melakukan persediaan termasuk membuat simulasi dan percubaan sistem pendaftaran.

Sumber : Harian Metro

Leave a Comment

Your email address will not be published.