3,392 mangsa banjir Johor masih berlindung di 34 PPS

single-image

JOHOR BAHRU : Seramai 3,392 mangsa banjir daripada 938 keluarga masih berlindung di 34 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah negeri ini, setakat jam 4.30 petang tadi.

Jumlah itu menurun sedikit berbanding 3,598 mangsa banjir (996 keluarga) berada di 40 PPS, pagi tadi.

Penduduk di Kota Tinggi membersihkan rumah yang dilanda banjir. - NSTP/ZAIN AHMED
Penduduk di Kota Tinggi membersihkan rumah yang dilanda banjir. – NSTP/ZAIN AHMED

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata walaupun hujan sudah berhenti di kebanyakan kawasan, langkah berjaga-jaga dan pemantauan masih diteruskan berikutan keadaan cuaca tidak menentu.

Katanya, Mersing dan Kulai yang dilanda banjir gelombang kedua sejak kelmarin, telah pulih sepenuhnya apabila PPS di daerah terbabit masing-masing ditutup sejak jam 3 serta 2 petang tadi.

Beliau berkata, Pontian yang muncul daerah terbaru dilanda banjir di Johor, masih kekal dengan 17 mangsa (empat keluarga) ditempatkan di sebuah PPS, setakat ini.

“Kota Tinggi pula kekal sebagai daerah paling terjejas akibat banjir di Johor dengan 2,227 mangsa (597 keluarga) berada di 22 PPS, petang ini, berbanding 2,198 orang (591 keluarga) pada pagi tadi.

“Namun, Johor Bahru mencatat penurunan kepada 975 mangsa banjir (297 keluarga) di sembilan PPS, setakat ini, berbanding 1,084 orang (325 keluarga) pada pagi tadi.

“Bilangan mangsa banjir di Segamat juga menurun dengan 76 mangsa (20 keluarga) berada di sebuah PPS ketika ini berbanding 81 orang (22 keluarga), pagi tadi.

“Selain itu, Kluang kekal dengan 97 mangsa banjir (20 keluarga) di sebuah PPS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, hanya tiga laluan ditutup kini membabitkan masing-masing satu di Kluang, Kota Tinggi dan Segamat.

Jalan Kota Tinggi-Kluang di Taman Seri Impian, Kluang, ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan berikutan kejadian tanah runtuh.

Jalan Mawai Lama, Kota Tinggi, dan Jalan Jabi-Bukit Tempurung di Segamat ditutup kepada kenderaan ringan kerana dinaiki air antara 0.2 hingga 0.4 meter.

Sumber : Berita Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published.