2,500 murid sekolah bakal menerima bantuan cermin mata daripada YSIJ

single-image

JOHOR BAHRU : Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) bersama syarikat Season Optical akan menyampaikan bantuan cermin mata kepada 2,500 murid sekolah yang memerlukan di seluruh Johor, yang nilai keseluruhan dianggar berjumlah RM500,00.


Dalam satu kenyataan diedarkan oleh Royal Press Oce (RPO), ia memaklumkan bahawa Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut berkenan meninjau dan memeriksa sendiri sebuah lori khas yang akan berkunjung ke semua daerah dan memeriksa mata murid-murid yang memerlukan bantuan berkenaan.


Tinjauan dan pemeriksaan itu dilakukan baginda di perkarangan Istana Flintstones, Mersing, dekat sini hari ini.

Menurut kenyataan berkenaan, Sultan Ibrahim amat mengalu-galukan pihak swasta untuk bekerjasama dengan YSIJ bagi membantu golongan yang memerlukan.


“Lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik yang kita semua lalui sejak tahun lepas, segala jenis bantuan yang boleh dihulur amat dialu-alukan bagi meringankan beban mereka yang terkesan.


“Saya berterima kasih kepada syarikat ini yang tampil untuk bekerjasama dengan yayasan saya dan membantu rakyat dengan cara mereka tersendiri,” titah baginda menerusi kenyataan itu.


Turut hadir semasa tinjauan dan pemeriksaan terbabit ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YSIJ Datuk Avinderjit Singh, Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ Fadhly Suan Laili serta Ketua Pegawai Eksekutif Season Optical Calvin Chung.


Sultan Ibrahim turut berkenan menerima menghadap Pengarah Urusan Eco-Shop Marketing Datuk Seri Lee Kar Whatt dan Pengarah Eksekutif Lionmas Furnishers


Gan Cheng Swee yang merupakan antara penyumbang kepada usaha berterusan YSIJ membantu rakyat yang memerlukan.
— BERNAMA

Leave a Comment

Your email address will not be published.