127 individu ingkar ditahan

single-image

SERAMAI 127 individu ditahan atas kesalahan ingkar pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada hari ke-55.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai lapan individu direman manakala 119 lagi diberi kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk 65 individu adalah tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dan 62 pula ditahan membabitkan aktiviti menyukarkan penjarakan fizikal.

“Selain itu, polis menahan seorang warga asing atas kesalahan imigresen melalui Op Benteng dan melakukan pemeriksaan 31,707 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya, lima individu dikenakan tindakan oleh polis berikutan gagal mematuhi SOP kuarantin di rumah seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Polis melakukan 1,969 pemeriksaan terhadap individu yang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.

“Sejak 24 Julai hingga 4 Ogos, seramai 5,355 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 21 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor, Perak dan Johor.

“Daripada jumlah itu, 13 individu dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kesemua mereka pulang dari 28 negara dan kini berada di hotel serta ILA terpilih untuk menjalani kuarantin wajib.

Selain itu, katanya, hasil 38 pemeriksaan di tapak binaan seluruh negara dilakukan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mendapati 34 daripadanya mematuhi SOP ditetapkan.

“Satu tapak binaan didapati tidak mematuhi SOP dan diberikan nasihat manakala tiga lagi tidak dibenarkan beroperasi,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.