12,000 guru KEMAS diharap jadi penerima awal vaksin COVID-19

single-image

KOTA TINGGI : Kira-kira 12,000 guru taman bimbingan kanak-kanak (TABIKA) dan taman asuhan kanak-kanak (TASKA) bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), diharap akan menjadi penerima awal vaksin COVID-19 menjelang pembukaan semula institusi itu pada 1 Mac depan.

Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, langkah itu penting untuk mengurangkan risiko jangkitan wabak berkenaan terhadap 200,000 murid TABIKA dan TASKA KEMAS.

“Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan membawa isu ini (guru KEMAS menerima vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan) kepada Kabinet untuk diputuskan segera.

“Kementerian berpandangan isu ini juga perlu menjadi keutamaan kerana ia membabitkan 7,000 kelas serta 200,000 murid TABIKA dan TASKA KEMAS seluruh negara.

“Guru KEMAS adalah golongan barisan hadapan kerana mendidik dan mengajar kanak-kanak seawal usia empat hingga enam tahun, justeru mereka perlu turut diutamakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis prapelancaran sambutan Jubli Emas Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) di Bangunan KEJORA, Bandar Penawar, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) akan memastikan kira-kira 55,000 guru menerima suntikan vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka semula pada 1 Mac ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, dipetik berkata Kementerian Pendidikan sudah menyerahkan senarai guru berkenaan kepada JKJAV.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, KEJORA diharap melaksanakan program khas dan bermakna sempena sambutan Jubli Emas supaya kejayaan agensi berkenaan tersebar luas serta diketahui umum.

“Banyak kejayaan dicapai KEJORA sepanjang tempoh penubuhannya dalam membangunkan kawasan dan penduduk di kawasan Tenggara Johor,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published.