110 kontena buangan toksik dikesan

single-image

JABATAN Alam Sekitar (JAS) berjaya mengesan 110 kontena mengandungi bahan buangan debu ‘electric arc furnace’ (EAF) bertoksik yang berasal dari Romania di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), sejak Jun lalu.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penemuan bahan buangan terjadual berbahaya itu adalah paling besar dalam sejarah negara sejak Malaysia menandatangani Konvensyan Basel.

Katanya, bahan berkenaan sepatutnya dihantar ke negara pengimport iaitu Indonesia, namun ia dibiarkan tersadai di PTP tanpa ada sesiapa yang menuntutnya.

“Buangan EAF ini diklasifikan sebagai buangan toksik dan berbahaya mengikut Konvensyan Basel dan dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW 104.

“Debu EAF berasal dari industri beraskan besi dan keluli dan ia mengandungi logam berat yang amat berbahaya seperti zink, ferum, chromium, cadmium dan plumbum. Sekiranya tidak diuruskan dan dikendalikan mengikut prosedur tertentu bukan sahaja akan menyebabkan kesan buruk kepada alam sekitar malah menjejaskan kesihatan manusia.

“Susulan penemuan kontena ini pada 15 Jun lalu, JAS sudah memaklumkan Pihak Berkuasa Konvensyen Basal bagi Romania bagi penghantaran balik 110 unit kontena ini ke negara asal secepat mungkin, ” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kontena berisi bahan buangan toksik berbahaya berkenaan di PTP, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air,Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar.

Mengulas lanjut,Tuan Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan JAS mendapati terdapat 1,864 beg gergasi seberat 1,864 tan bahan buangan EAF di dalam 110 kontena berkenaan yang berstatus transit, namun maklumat di dalam borang deklarasi didapati palsu.

“Ia diisytiharkan sebagai bahan buangan zink namun apabila ujian dilakukan ia mengandungi pelbagai bahan buangan bertoksik yang amat berbahaya.

“Katanya bahan buangan EAF bertoksik dan berbahaya itu juga menyalahi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 berikutan semua bahan buangan terjadual hendaklah diuruskan secara sempurna termasuk dari segi notifikasi, ciri buangan selain maklumat pergerakan dan perlu direkodkan melalui sistem atas talian iaitu eSWISS, selaras dengan peraturan itu.

Tuan Ibrahim berkata, menerusi Konvensyen Basel sebarang pergerakan buangan berbahaya merentasi sempadan hendaklah memenuhi prinsip Prior Informed Consent (PIC) dengan negara pengeksport perlu mengemukakan notifikasi kepada negara pengimport dan negara transit.

“Sebarang pergerakan merentasi sempadan buangan toksik dan berbahaya hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat kebenaran bertulis dari negara pengimport dan negara transit,” katanya.

Beliau berkata, laporan juga sudah dibuat kepada Interpol bagi mengesanpihak sebenar yang mengimport bahan buangan berkenaan.

Sumber : Harian Metro

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.